Sikap prejudis kait kemalangan dengan isu kaum

Sharul Nasrun
Sharul Nasrun
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda UMNO beranggapan masih ada sikap prejudis dalam kalangan rakyat di negara ini apabila mengaitkan insiden yang menimpa Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, dengan isu perkauman.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, sejak rakaman kejadian tersebut tular di laman sosial Facebook, pelbagai komen dimuat naik berhubung kemalangan yang menimpa Allahyarham.

Menurutnya, perkara yang paling membimbangkan apabila kemalangan itu dikaitkan pula dengan isu perkauman yang menunjukkan sikap prejudis antara kaum dalam kalangan rakyat di Malaysia.

“Prejudis antara kaum dalam kalangan rakyat negara ini semakin menebal selepas Pakatan Harapan menaungi Putrajaya dan sentimen sebegini bukanlah sesuatu yang pelik.

“Tidak menghairankan perkara (prejudis) ini berlaku kerana banyak tindakan atau keputusan kerajaan PH yang dilihat tidak berpihak atau meminggirkan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam insiden Ahad lalu itu, Syed Muhammad Danial Syed Syakir meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Nilai.

Mangsa yang juga pemandu kereta jenis Perodua Axia sebelum itu berselisih faham dengan seorang lelaki berpunca daripada kemalangan jalan raya yang berlaku di di KM293.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Shahrul berkata, dalam kes tersebut, arwah Muhammad Syed Danial sudah tidak boleh mempertahankan dirinya dan mengharapkan satu siasatan yang telus dijalankan oleh pihak kuasa supaya keluarga arwah dapat keadilan yang sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih kepada PDRM kerana bertindak pantas menahan reman pasangan terbabit dan mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Qistina Ayu Rozhan Mohd Rozhan, 28, dan bayi perempuan yang baru berusia 4 bulan.

Sementara itu, sepasang suami isteri masing-masing berusia dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an ditahan reman di Mahkamah Majistret Kajang sehingga 17 Ogos ini bagi membantu siasatan.