Lelaki bersenjatakan pisau bikin kecoh

Seorang wanita cedera akibat ditikam suspek.
Seorang wanita cedera akibat ditikam suspek.
A
A
A

SYDNEY - Seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau menyerang orang ramai di Sydney hari ini.

Kejadian menggemparkan di York Street, daerah pusat perniagaan di bandar terbesar Australia itu turut menyebabkan seorang wanita cedera ditikam.

Penyerang tersebut juga cuba menikam orang lain, namun tindakan itu dihalang beberapa individu yang kemudiannya bertindak pantas menangkapnya sebelum pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian.

Imej disiarkan media tempatan menunjukkan seorang lelaki melompat di atas bumbung sebuah kereta sambil memegang pisau.

Lelaki itu kemudiannya jatuh di atas jalan apabila kenderaan itu mula bergerak dan dia terus dikerumuni beberapa individu dan beberapa daripadanya turut memegang kerusi.

Pasukan Polis New South Wales (NSW) menerusi Facebook memaklumkan mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 2 petang (waktu tempatan) tentang lelaki bersenjatakan pisau.

"Ketika polis dalam perjalanan ke lokasi kejadian, kami turut menerima laporan lelaki terbabit telah menikam seorang mangsa di penjuru King and Clarence Streets

"Wanita itu berada dalam keadaan stabil dan tiada mangsa lain dilaporkan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Polis turut memuji tindakan berani beberapa individu yang menangkap suspek terbabit yang dipercayai bertindak secara sendirian.

Sementara itu, saksi Megan Hayley berkata, dia melihat lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an itu memegang pisau dapur yang besar dan mengejar orang ramai sejurus selepas waktu makan tengah hari.

"Dia kemudiannya ditangkap beberapa individu di hadapan dua kafe terkenal di tengah Sydney," katanya.

Difahamkan, suspek bertindak secara sendirian dan motif serangan masih disiasat. - Agensi