Pemuda Palestin maut ditembak tentera Israel di Beit Hanoun

Penduduk mengusung jenazah Marwan Nasser yang terbunuh selepas ditembak tentera Zionis berhampiran sempadan Gasza-Israel.
Penduduk mengusung jenazah Marwan Nasser yang terbunuh selepas ditembak tentera Zionis berhampiran sempadan Gasza-Israel.
A
A
A

GAZA CITY - Suasana sedih bercampur marah menyelubungi sambutan hari raya pertama Aidiladha di utara Beit Hanoun di Semenanjung Gaza selepas seorang pemuda Palestin dibunuh tentera Israel.

Mangsa ditembak berhampiran pagar sempadan yang memisahkan Gaza dan wilayah yang diduduki pada awal pagi semalam.

Kementerian Kesihatan Gaza mengenal pasti mangsa sebagai Marwan Nasser.

Difahamkan, bapa mangsa terbunuh dalam serangan Israel semasa Intifada kedua Palestin yang berlangsung antara tahun 2000 hingga 2005.

Insiden menimpa pemuda berusia 26 tahun itu berlaku sehari selepas empat penduduk Palestin maut ditembak kerana dituduh cuba melancarkan serangan menyasarkan tentera Zionis.

Israel turut menahan dan enggan memulangkan jenazah empat lelaki itu kepada waris masing-masing bagi tujuan pengebumian.

Rejim Zionis mengundurkan tenteranya dari Gaza pada 2005, namun memencil wilayah itu dengan membina tembok serta mengenakan sekatan ekonomi dan perjalanan.

Sekurang-kurangnya 301 penduduk Palestin dibunuh askar Israel di Gaza atau di kawasan sempadan sejak protes 'Great March of Return' tercetus pada Mac 2018. - Agensi

Artikel Berkaitan: