TDM rintis pembangunan biogas anak syarikat Terengganu

Raja Idris (tiga dari kanan) bersama dengan wakil CBSB selepas selesai menandatangani perjanjian ‘Build-Own-Operate (BOOT).
Raja Idris (tiga dari kanan) bersama dengan wakil CBSB selepas selesai menandatangani perjanjian ‘Build-Own-Operate (BOOT).
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Anak syarikat milik penuh TDM Berhad, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) menandatangani perjanjian Build-Own-Operate-Transfer (BOOT) dengan Concord Biotech Sdn Bhd (CBSB) untuk membangunkan loji biogas bagi kemudahan penjanaan kuasa di kilang kelapa sawit syarikat itu di Kemaman dan Setiu.

Pada masa yang sama, anak syarikat milik penuh TDM iaitu Kumpulan Ladang-Ladang Terengganu (KLLT) turut menandatangani perjanjian sewa pajak dengan CBSB untuk memajak tapak bagi tujuan pembangunan dan operasi kilang penjanaan kuasa biogas.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Ahli Lembaga Pengarah TDMP, Najman Kamaruddin di samping Pengerusi KLLT, Mazli Zakuan Mohd Noor manakala CBSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairuddin Tan Sri Mohd Hussin.

Melalui perjanjian itu, kedua-dua pihak berhasrat untuk bekerjasama dalam membangun, mengendali dan mengekalkan penjanaan kuasa berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui.

Projek melibatkan dua loji biogas bernilai RM36 juta itu menggunakan sistem lagun tertutup yang terletak di kilang minyak sawit Kemaman dan Sungai Tong, Setiu.

Kilang itu dijangka menghasilkan lebih daripada 4 megawatt tenaga elektrik setiap jam yang bakal dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengerusi TDM Berhad, Datuk Raja Idris Raja Kamarudin berkata, projek itu adalah sebahagian daripada Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) TDM bagi menghasilkan nilaian lebih tinggi berbanding aset sedia ada iaitu melibatkan operasi di kedua-dua kilang.

“Ini bagi menyokong Dasar Kelestarian kami dalam penukaran waste to wealth dan juga melindungi persekitaran alam semula jadi. Kami akan meningkatkan operasi dan latihan kami secara berterusan melalui inovasi, teknologi dan cara lain untuk mengurangkan jejak karbon TDM.

Artikel Berkaitan:

“Dalam perancangan kami, TDM akan melancarkan inisiatif VCP yang lain dan Rancangan Pembangunan Perniagaan (BDP) dalam mengekalkan kemajuan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.