Ribut: Maut digilis selepas terjatuh terkena zink 'terbang'

Mayat mangsa yang maut terkena zink terbang dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.
Mayat mangsa yang maut terkena zink terbang dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.
A
A
A

JITRA - Seorang penunggang motosikal maut selepas terkena zink yang diterbangkan ribut di hadapan Masjid Sharifah Fatimah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim,berkata kejadian berlaku jam 8.50 malam ketika mangsa Marziah Che Omar, 27, dalam perjalanan dari arah Batu 13 menghala bulatan Jitra.

"Ketika sampai di tempat kejadian, sekeping zink yang diterbangkan angin terkena motosikal ditunggang mangsa bersendirian.

"Mangsa kemudian terjatuh sebelum digilis sebuah kereta yang berada di bahagian belakang motosikalnya," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, zink yang sama mengenai dan menutup cermin depan kereta yang dipandu lelaki berusia 62 tahun itu.

"Situasi itu menyebabkan pemandu terbabit tidak nampak apa-apa lalu tergilis mangsa.

"Pemandu berkenaan yang tidak cedera kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis Jitra," katanya.

Mohd Ismail berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: