TH tidak bertanggungjawab urus visa furada

 Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) tidak bertanggungjawab menguruskan visa furada sebaliknya ia diuruskan oleh agensi pelancongan umrah serta individu bersama kedutaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, TH hanya mengendalikan jemaah serta visa haji yang diperolehi secara rasmi.

“Insiden 26 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Jeddah merupakan satu peristiwa yang membimbangkan. Perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi ia melibatkan individu yang ingin menunaikan haji.

“Tahun ini, TH hanya menguruskan kuota haji sedia ada dan tambahan yang diberikan kerajaan Arab Saudi iaitu 33,000 kuota tahun ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, TH juga tidak dibenarkan untuk menguruskan jemaah haji furada serta yang menunaikan haji melalui syarikat yang tidak mempunyai lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH).

“Bagi agensi-agensi pelancongan pula, TH hanya menguruskan syarikat yang diiktiraf TH serta mendapat lesen PJH.

“Bagaimanapun, untuk kes seperti 26 orang warganegara Malaysia yang terkandas di Jeddah, TH tetap menghulurkan bantuan dan menjaga kebajikan dengan memberi makan minum dan bekerjasama dengan pihak Arab Saudi untuk urusan membawa balik mereka,” katanya.

Justeru, kata Mujahid, umat Islam diminta supaya berhati-hati memilih syarikat yang tidak mempunyai lesen PJH dan mendakwa mempunyai kuota visa furada.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana bakal jemaah haji berdepan dengan risiko termasuk gagal mendapat penerbangan di saat-saat akhir.

“Pihak saya melalui TH sentiasa berusaha untuk mengurangkan segala risiko dengan sentiasa memperbaiki dan meningkatkan sistem pengendalian haji di Malaysia,” katanya.

Selasa lalu, seramai 26 jemaah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah kerana memiliki visa haji Furada yang tidak sah, menyebabkan mereka terpaksa pulang ke Malaysia.

Visa Furada adalah visa haji yang diperoleh dengan berurusan secara terus dengan Kedutaan Arab Saudi dan tidak membabitkan kuota haji sesebuah negara.

Ia biasanya diberikan pada saat-saat akhir berdasarkan kekosongan yang ada.

ARTIKEL BERKAITAN:

Jemaah haji terkandas: Imbas pasport keluar muka orang lain

'Dah siap pakai ihram, terpaksa patah balik rumah...'