Cukup laporan polis, tak perlu saman: MB Johor

Dr Sahruddin (tengah) ketika menyempurnakan gimik penyerahan lembu korban pada Program Simbolik Penyerahan Lembu Korban Peringkat DUN Bukit Kepong di Batu 23 Lenga Pagoh hari ini.
Dr Sahruddin (tengah) ketika menyempurnakan gimik penyerahan lembu korban pada Program Simbolik Penyerahan Lembu Korban Peringkat DUN Bukit Kepong di Batu 23 Lenga Pagoh hari ini.
A
A
A

PAGOH - Laporan polis yang dibuat beberapa pihak terhadap kenyataan fitnah yang memburukkan Menteri Besar di laman Facebook Ops Johor sebelum ini dianggap sudah memadai untuk tindakan pihak berwajib.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, beliau secara peribadi tidak akan mengemukakan saman kepada pemilik akaun media sosial tersebut kerana laporan polis telah dibuat Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor dan beberapa individu lain.

Justeru beliau berharap, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Sebenarnya ketua bahagian (Bersatu) dan beberapa individu sudah pun membuat laporan polis terhadap Ops Johor. Ini kerana hampir semua yang dia buat itu adalah fitnah terhadap saya.

"Setakat ini alhamdulillah saya dapat mentadbir Johor dan masih menerima sokongan daripada ketua bahagian di seluruh negeri. Selain itu, saya juga mendapat sokongan penuh daripada pimpinan Pakatan Harapan negeri dan Pusat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Simbolik Penyerahan Lembu Korban Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong di Batu 23 Lenga di sini hari ini.

Dr Sahruddin turut menegaskan semua tohmahan yang dilemparkan Ops Johor terhadapnya adalah tidak berasas.

Sementara itu, ditanya mengenai Bajet Johor 2020, Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri masih menunggu maklum balas rakyat untuk diperincikan ke dalam pembentangan belanjawan tahunan negeri itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita masih tunggu lagi maklum balas daripada masyarakat. Kita juga sudah membuat kaji selidik dan akan menggabungkan pandangan masyarakat dan daripada pihak kerajaan negeri sendiri.

“Kita akan lihat apa yang lebih perlu untuk kita tekankan pada bajet kali ini. Paling penting bagaimana untuk kita tingkatkan ekonomi rakyat seperti industri dan teknologi hijau, pertanian, perindustrian bagi memastikan kemajuan Johor terus meningkat,” katanya.

Terdahulu, pada program itu, Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong menyerahkan simbolik penyerahan lembu korban kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan agensi kerajaan yang terdapat di DUN berkenaan.