Lima sekeluarga, rakan didakwa edar dadah

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Lima sekeluarga dan seorang rakan lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah lebih 9,700 gram di Taman Cheng Setia, Julai lepas.

Jeffrey Koh Hong Lam, 51; Goh Eng Meng, 46; Ee Bee Teng, 49; Koh Qian Yi, 19; Koh Qian Yun, 25; dan Koh Kiat Kuan, 23; didakwa dengan niat bersama mengedar dadah jenis ketamin dengan berat kasar 9,755 gram di dalam but kereta berhadapan sebuah rumah di Jalan CS 12, Taman Cheng Setia di sini pada 6.10 petang, 26 Julai.

Tiada pengakuan direkodkan daripada enam tertuduh di hadapan Majistret Teoh Shu Yee, kerana kes berkenaan merupakan bidang kuasa mahkamah tinggi.

Sementara itu, di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim, Jeffrey dan rakannya Goh turut didakwa dengan niat bersama atas dua pertuduhan lain iaitu mengedar dadah jenis ketamine dengan berat kasar 600 gram dan methamphetamine dengan berat kasar 590 gram di rumah beralamat sama, pada waktu dan hari sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Bagi kesemua kesalahan itu, enam individu terbabit didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua majistret menetapkan 8 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Najwa Nazari dan Intan Lyiana Zainal Abidin manakala semua tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes. - Bernama

Artikel Berkaitan: