Polis Marin, KPDNHEP gagalkan cubaan seludup keluar barang kawalan

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggagalkan tiga cubaan menyeludup keluar barang kawalan di perairan Laut Pelabuhan dan Laut Sungai Haji Kuning dekat sini pada Rabu lalu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam operasi bersepadu itu dua penambang dan sebuah bot jenis jongkong ditahan kerana membawa muatan barang kawalan iaitu empat tong gas jenama Petronas, dua tong gas jenama MyGaz dan 120kg gula jenama Prai.

"Dua juragan tempatan dan seorang juragan warga Indonesia yang berumur 33 hingga 63 tahun, mereka gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada KPDNHEP atas kesemua barang kawalan yang dibawanya.

"Kesemua juragan ditahan dan bot serta barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM68,260. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Dalam operasi sama, seorang wanita Filipina berumur 28 tahun ditahan kerana disyaki seorang penagih dan pengedar dadah.

"Wanita itu dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah untuk siasatan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: