PH Selangor sokong Amirudin sebagai MB

Amirudin (lima dari kiri) bersama pimpinan PH Selangor selepas Mesyuarat Dwi Bulanan PH negeri yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar hari ini.
Amirudin (lima dari kiri) bersama pimpinan PH Selangor selepas Mesyuarat Dwi Bulanan PH negeri yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Selangor kekal menyokong kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Setiausaha PH Selangor, Borhan Aman Shah berkata, semua parti komponen turut menolak sekeras-kerasnya khabar angin kononnya wujud usaha bagi menggantikan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim.

“PH Selangor menzahirkan sokongan padu dan sepenuh keyakinan terhadap Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor serta Pengerusi PH Selangor.

“Sokongan dan keyakinan ini juga ditujukan pentadbiran yang diterajui beliau yang berkeupayaan memimpin Selangor ke satu aras kemajuan yang lebih tinggi sekali gus menjamin kemaslahatan rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan bersama pada sidang media selepas Mesyuarat Dwi Bulanan PH Selangor Kali Ketiga di kediaman rasmi Menteri Besar hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, desas-desus yang ditimbulkan akhir-akhir ini disifatkan sebagai agenda jahat untuk memecahkan keharmonian PH Selangor.

“Desas-desus ini mempunyai agenda jahat daripada musuh politik bagi memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian dalam PH Selangor.

“Kami sepakat bagi meneruskan gerak kerja dalam melaksanakan agenda untuk manfaat rakyat dan negeri Selangor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Borhan berkata, mesyuarat yang berlangsung hari ini adalah bagi membincangkan mengenai program-program yang akan disusun dalam Belanjawan Negeri Selangor 2020 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, PH Selangor mengulangi tekad dan keazaman untuk terus memajukan negeri ini sebagai sebuah negeri pintar terulung menjelang 2025.

“Selain (itu), mengutamakan agenda memberdayakan rakyat agar berkeupayaan mendepani segala cabaran yang mendatang terutamanya berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi negeri ini.

“Kami bertekad untuk meneruskan usaha menggarap dan melaksanakan polisi-polisi yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri serta memastikan kebajikan rakyat terbela,” katanya.