Dicekup selepas sejam lebih lakukan samun

Ahsmon Bajah
Ahsmon Bajah
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis Kota Tinggi berjaya menangkap sekumpulan lelaki selepas tidak sampai satu jam setengah melakukan samun di sebuah premis di Sungai Rengit awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kejadian samun berkumpulan tanpa senjata api di premis 7 Eleven Sungai Rengit itu berlaku kira-kira 12.50 pagi.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, empat lelaki dipercayai warga tempatan telah masuk ke dalam premis untuk membeli minuman keras, namun kesemua suspek enggan membuat pembayaran.

"Suspek turut memaksa mangsa mengeluarkan duit yang disimpan di dalam mesin pembayaran di kaunter. Mangsa yang ketakutan telah menyerahkan wang tunai berjumlah lebih kurang RM331.50 kepada suspek.

"Kesemua suspek kemudian terus melarikan diri dengan membawa wang tunai, 60 tin dan 4 botol minuman keras pelbagai jenama serta beberapa kotak rokok jenama Dunhill Red, Dunhill Classic dan Peter Remix Tropica," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, ekoran kejadian itu jumlah kerugian ditanggung pemilik dianggarkan berjumlah RM1782.80.

Katanya, bertindak atas maklumat, pada jam 2.20 pagi, sepasukan polis daripada Balai Polis Sungai Rengit dan Balai Polis Bayu Damai telah membuat serbuan di Pusat Hiburan Boss Bistro, Teluk Ramunia, Pengerang.

"Polis berjaya menahan lapan lelaki warga tempatan berumur 25 tahun hingga 36 tahun serta telah merampas sebuah kereta Perodua Alza.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM856 dan satu peti air batu berwarna jingga berisi pelbagai jenis minuman keras.

"Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya lagi.