KSU Motac hanya bantu siasatan, bukan disiasat SPRM

Isham Ishak
Isham Ishak
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Isham Ishak hari ini menjelaskan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan dan bukannya untuk disiasat.

Menurutnya, selaku pegawai kementerian, beliau dipanggil bagi memperjelaskan berkenaan prosedur kementerian serta perkara-perkara yang berlaku di kementerian itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan siasatan itu berhubung kes apa kerana tidak mahu mengganggu siasatan pihak berkuasa.

"Memang benar saya dipanggil SPRM semalam dan ia adalah kali kedua selepas kelmarin (Rabu lalu). Peranan saya hanya membantu siasatan, bukannya disiasat, ia dua perkara berbeza.

"Saya sudah berikan maklumat yang diperlukan bersama dokumen tertentu tetapi bagi menghormati proses siasatan, saya tidak boleh jelaskan ia berkaitan kes apa," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Isham berkata, beliau perlu menjelaskan kedudukan sebenar bagi membersihkan namanya, keluarga serta kementerian kerana terdapat dakwaan kononnya beliau terlibat dalam salah laku sehingga disiasat SPRM.

"Pegawai SPRM menjalankan sesi tersebut dengan penuh profesional, malah membenarkan saya pulang ke pejabat serta mempengerusikan mesyuarat," katanya.

Menurutnya, ini kali pertama beliau dipanggil membantu siasatan SPRM sejak berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan dalam kes berkaitan Motac, tidak banyak yang dapat beliau lakukan kerana baru dilantik ke jawatan itu Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Antara lain saya turut menjelaskan mengenai langkah-langkah yang sudah diambil bagi memastikan perkara berkaitan salah laku tidak berlaku lagi di kementerian,” katanya.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi mengesahkan Isham dipanggil SPRM tetapi tidak mendedahkan tindakan itu untuk siasatan berkaitan salah laku rasuah atau perkara lain.

Dalam pada itu, Isham berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap sebuah portal kerana mendedahkan dokumen berkaitan kementerian yang dikategorikan sebagai sulit.

"Selain tidak berasas, perbuatan tidak bertanggungjawab ini boleh mengakibatkan gangguan kepada pentadbiran negara. Saya sedang kumpulkan maklumat dan dokumen lanjut berkaitan fitnah yang mula dikesan disebarkan sejak bulan lepas. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kontrak RM99 juta: Menteri sahkan KSU Motac dipanggil SPRM