Keldai akaun: Polis tahan 516 individu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sanggup menjual akaun bank dengan harga serendah RM300.

Perbuatan itu dilakukan keldai akaun yang menjual akaun bank mereka kepada seorang ejen sebelum dijual kepada sindiket yang terbabit dalam transaksi jenayah siber.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati rata- rata individu yang dipercayai terlibat menjual akaun mereka adalah golongan penganggur dan suri rumah.

Menurutnya, seramai 516 individu yang disyaki menjadi keldai akaun diberkas sepasukan pegawai dan anggota JSJK dalam operasi dijalankan selama dua minggu bermula 17 Julai lalu.

"Operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JSJK bagi melumpuhkan kegiatan yang dilakukan sindiket penipuan dengan mempergunakan keldai akaun iaitu individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh sindiket.

"Polis percaya akaun bank itu dijual dengan harga serendah RM300 kepada pihak sindiket. Ini terbukti apabila kita pernah menahan seorang individu berpangkat 'Datuk' kerana menjadi ejen bagi mencari keldai akaun," katanya pada sidang akhbar selepas Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial di Menara KPJ di sini hari ini.

Mohd Zakaria berharap pihak bank memperketatkan syarat bagi mana-mana individu untuk membuka akaun baharu.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu ada individu yang bertindak menjual akaun bank mereka kepada pihak sindiket kerana ia adalah satu kes subahat dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Di sini saya tegaskan masyarakat untuk tidak terlibat dalam kegiatan tidak bertanggungjawab ini. Akaun bank atau kad ATM bukan untuk dijual atau dibeli walau apa jua alasannya

"Kita harap dengan kerjasama daripada masyarakat, kita akan mampu menangani kes-kes jenayah sebegini," katanya.

Katanya, JSJK mewujudkan sebuah portal di laman web rasmi JSJK iaitu http://ccid.rmp.gov.my./semakmule bagi membantu orang ramai untuk membuat semakan ke atas akaun-akaun bank atau nombor telefon yang mempunyai rekod laporan polis sebelum sebarang transaksi dibuat.