Logo Sukma Johor berciri tulisan jawi

Dr Sahruddin (tengah) ketika melancarkan logo berciri jawi untuk Sukma XX hari ini.
Dr Sahruddin (tengah) ketika melancarkan logo berciri jawi untuk Sukma XX hari ini.
A
A
A

KULAI - Bahang kehadiran Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 Johor 2020 yang bakal berlangsung mulai 11 Julai tahun depan di negeri ini kian dirasai menerusi pelancaran maskot dan logonya hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, maskot berupa seekor harimau diberi nama Jimi telah dipilih untuk menjadi simbol Harimau Selatan yang turut menampilkan ciri kesultanan zaman-berzaman yang menjadi identiti negeri.

"Manakala logo yang diperkenalkan dengan bercirikan tulisan jawi melalui huruf 'jim' bagi mewakili Johor dan identiti bangsa Johor yang masih memartabatkan tulisan jawi selain turut digabungkan untuk menjadi obor temasya.

"Slogan 'Semarak Juara' yang telah dipilih merupakan laungan bagi menyahut cabaran untuk memperkasakan semangat kesukanan dan kegemilangan sukan turut diletakkan di bawah logo temasya," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Maskot dan Logo Sukma Johor di Hotel Impiana, Senai, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma Johor, On Jabbar.

Sahruddin berkata, kali terakhir Johor bergelar tuan rumah temasya berkenaan pada 1992 dan diharap penganjuran Sukma Johor ini memupuk semangat kesukanan untuk generasi masa depan.

"Dengan penambahbaikan dan pembinaan beberapa fasiliti dan infrastruktur baharu termasuk menerusi dana disalurkan kerajaan Pusat sejumlah RM142 juta, Johor sudah pasti akan menjadi kuasa besar sukan dalam masa akan datang sama ada menjadi penganjur temasya bertaraf dunia atau melahirkan atlet muda untuk negara.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 38 lokasi sekitar Johor akan digunakan untuk 30 acara sukan membabitkan 14 kontinjen dan Brunei dengan seramai 11,000 atlet.

"Penambahbaikan dan pembinaan beberapa fasiliti dan infrastruktur baharu siap selewat-lewatnya pada April 2020," katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Umar Bagharib berkata, kerajaan negeri juga sedang rancak mempersiapkan diri melibatkan keseluruhan aspek.

"Ramai atlet bertaraf dunia sedang dipersiapkan dan sudah pasti ada yang menyinar ketika Sukma Johor nanti," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, acara sukan yang akan dipertandingkan pada Sukma Johor akan dimuktamadkan pada bulan depan.

"Sukan angkat berat seperti mana diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi Sukma masih lagi berstatus 'keep in view' (KIV) dan kita telah bincangkan beberapa syarat perlu dipatuhi oleh Persatuan Angkat Berat.

"Insya-ALLAH, kita akan bentangkan semula pada jawatankuasa tertinggi Sukma pada bulan September untuk diputuskan sama ada acara angkat berat akan dimasukkan atau sebaliknya.

"Beberapa cadangan lain turut akan dikemukakan. Insya-ALLAH, kesemua acara juga akan dimuktamadkan pada September depan," katanya.