Jalur Gemilang berwarna hitam undang kemarahan netizen

SHAH ALAM - Seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri mendapat reaksi negatif daripada netizen apabila bertindak menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam berhubung isu pengenalan tulisan khat.
Lelaki yang terlibat dengan perniagaan industri pembinaan itu telah menaikkan sekeping foto yang menunjukkan jalur warna putih pada Jalur Gemilang ditukarkan kepada warna hitam di laman Facebooknya semalam.
Perbuatan tersebut kononnya mahu menyindir Kementerian Pendidikan yang mungkin akan menukarkan warna bendera itu sama seperti menukar warna kasut sekolah daripada putih kepada hitam.
Bagaimanapun, berdasarkan carian yang dibuat oleh Sinar Harian mendapati hantaran tersebut telah dipadamkan namun tulisan berhubung isu tersebut masih boleh dibaca di laman webnya.