Semakan semula elaun penjawat awam tertakluk kedudukan kewangan kerajaan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kajian penambahbaikan Elaun Perumahan Wilayah (EPW) dan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) serta elaun-elaun lain penjawat awam dilaksanakan dari semasa ke semasa, kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagaimanapun, JPA dalam kenyataan hari ini berkata, kebolehlaksanaan kajian tersebut adalah tertakluk kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan.

"JPA ingin menjelaskan, kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan penjawat awam melalui pemberian elaun yang dapat membantu meringankan keperluan sara hidup penjawat awam," katanya.

JPA berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baru-baru ini supaya EPW dan BIW disemak semula berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, pemberian EPW kepada pegawai yang bertukar wilayah merupakan bantuan perumahan dengan kadar ditetapkan berdasarkan purata kadar sewa pasaran mengikut lokasi yang diperakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan.

JPA berkata, penentuan kelayakan kadar EPW adalah berpandukan kepada bandar atau kawasan di mana letaknya pejabat pegawai.

"Sebagai contoh, Pembantu Tadbir Gred N19 yang bertugas di Kuching bertukar wilayah ke Putrajaya, maka pegawai akan menerima EPW dengan kadar RM500 berbanding RM300 kadar ITP (Imbuhan Tetap Perumahan) yang dinikmatinya semasa bekerja di Kuching," katanya.

Bagi BIW pula, JPA berkata, ia bagi membantu meringankan kos sara hidup pegawai yang bertukar wilayah dan juga dinikmati oleh pegawai berasal dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di wilayah asal masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Katanya, BIW dibayar berdasarkan peratusan tertentu iaitu di antara 12.5 peratus hingga 22.5 peratus yang ditetapkan berdasarkan lingkungan gaji seseorang pegawai dengan bayaran lebih tinggi diberikan kepada pegawai dalam lingkungan gaji lebih rendah selaras dengan keperluan dan kebajikan pegawai.

"Sebagai contoh, Pembantu Tadbir Gred N19 yang menerima gaji RM1,952 sebulan akan menerima BIW pada kadar 20 peratus daripada jumlah gajinya.

"Namun, apabila gaji pegawai meningkat kepada RM2,252, pegawai akan menerima BIW pada kadar 17.5 peratus daripada jumlah gajinya," katanya. - Bernama