Kontrak RM99 juta: Menteri sahkan KSU Motac dipanggil SPRM

Mohammadin Ketapi
Mohammadin Ketapi
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi mengesahkan Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Isham Ishak dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.

"Saya tidak boleh komen kerana perkara ini dalam siasatan. Sekarang dia dipanggil oleh pihak berkuasa untuk disiasat," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam sebuah portal melaporkan Isham dipanggil hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini untuk membantu siasatan membabitkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta.

Mohammadin berkata, beliau tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai siasatan oleh pihak SPRM itu dan tidak berhasrat untuk mengganggu siasatan terhadap kes tersebut.

"Saya sendiri belum dimaklumkan secara rasmi sebab apa (siasatan dibuat), belum dimaklumkan secara rasmi jadi saya tidak dapat beri komen panjang dan saya tidak mahu ganggu siasatan," katanya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sebuah kerajaan baharu yang bersih dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat sebarang unsur rasuah.

"Saya tidak akan akan bertolak ansur dengan pegawai di kementerian dan jabatan yang membuat salah laku atau terlibat dengan rasuah," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: