Jemaah haji terkandas: Agensi uruskan jemaah buat laporan polis

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Sebuah agensi pelancongan yang mengendalikan urusan jemaah haji di Tanah Suci, membuat laporan polis berikutan 26 orang rakyat Malaysia terkandas di Jeddah kerana dikatakan mempunyai visa haji furada (persendirian) palsu.

Pengarah Syarikat Hajar Sazrul Travel & Tours Mohamad Sazrul Iqram Rozlan berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak pagi semalam sejurus menerima berita tersebut.

"Ini kejadian kali pertama berlaku kepada syarikat kami yang terlibat dalam pengurusan jemaah haji sejak 12 tahun lepas," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Seramai 26 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah sejak Isnin, selamat tiba di KLIA hari ini.

Siti Esah Hussain menangis kesedihan kerana tidak dapat mengerjakan ibadah haji musim ini berikutan masalah tiket dan visa semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto Bernama
Siti Esah Hussain menangis kesedihan kerana tidak dapat mengerjakan ibadah haji musim ini berikutan masalah tiket dan visa semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto Bernama

Kumpulan itu tiba di Jeddah menggunakan penerbangan komersial dari KLIA dan kemasukan mereka tidak dibenarkan dipercayai akibat masalah teknikal pada visa haji furada yang mereka peroleh.

Mohamad Sazrul Iqram mendakwa permohonan visa furada itu diuruskan oleh pegawai Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

"Kita terkejut dikatakan visa itu tidak sah kerana kita telah lama berurusan dengan pihak kedutaan. Kita merasakan kepercayaan kita kepada pihak tersebut telah dicabuli apabila kejadian ini berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap siasatan penuh dapat dilakukan pihak berkuasa berkenaan kes itu yang secara langsung telah menjejaskan nama baik syarikat berkenaan. - Bernama