Penganggur didakwa tipu tiket konsert Westlife palsu

Westlife dijadualkan mengadakan konsertnya di Stadium Melawati Shah Alam selama dua hari bermula esok.
Westlife dijadualkan mengadakan konsertnya di Stadium Melawati Shah Alam selama dua hari bermula esok.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penganggur lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas 45 pertuduhan menipu 715 keping tiket Konsert Westlife palsu membabitkan lebih RM150,000.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-45, S Kelvin Raj, 23, didakwa menipu seorang jurujual, Sim Ting Ting untuk mempercayai bahawa kesemua tiket yang dijualnya adalah benar.

Ia didakwa mendorong mangsa membuat kemasukan RM151, 956 ke dalam akaun Hong Leong Bank milik tertuduh secara berperingkat bermula 23 Mac sehingga 25 Mei.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium, Taman Serdang Raya, Seri Kembangan, dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Abdul Salim meminta mahkamah memberikan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam R Krishna Murthy merayu supaya wang jaminan itu dikurangkan dengan atas alasan bukan sahaja anak guamnya menganggur malah kedua-dua ibu bapanya juga tidak bekerja.

Majistret, Nor Ariffin Hisham kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan lelaki itu menyerahkan pasport dan melaporkan diri setiap bulan di balai berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan 23 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, Westlife dijadualkan mengadakan konsertnya di Stadium Melawati Shah Alam selama dua hari bermula esok.