Isu Kashmir: PM Pakistan bantah keputusan India

Imran Khan
Imran Khan
A
A
A

ISLAMABAD - Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan memaklumkan negara itu sedang mempertimbangkan pendekatan ke Majlis Keselamatan PBB (UNSC) selepas India menghapuskan status khas di wilayah bergolak Kashmir yang didiami majoriti orang Islam.

"Kami akan membantah keputusan itu di setiap forum. Kami juga sedang memikirkan bagaimana mahu mengemukakan perkara itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)," katanya ketika berucap pada sesi di Parlimen untuk membincangkan respons yang mungkin akan diambil terhadap langkah dibuat New Delhi.

Terdahulu, Ketua Tentera Pakistan, Jeneral Qamar Javed Bajwa berkata, mereka tetap akan berdiri teguh bersama penduduk Jammu dan Kashmir.

"Tentera Pakistan akan sentiasa berada di belakang mereka untuk menempuh situasi ini sehingga ia berakhir. Kami sentiasa bersedia untuk mengambil segala langkah bagi memenuhi kewajipan kami dalam hal ini," katanya selepas menghadiri mesyuarat di bandar garison Rawalpindi.

Dalam perkembangan berkaitan, dianggarkan 500 penunjuk perasaan menyertai bantahan di Muzaffarabad bandar terbesar di Kashmir yang ditadbir Pakistan dan protes lebih banyak dijangka merebak ke bandar utama di seluruh negara.

Kelmarin, parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP) turut mencadangkan rang undang-undang untuk membahagikan bahagian di wilayah Himalaya itu kepada dua kawasan di bawah pemerintahan New Delhi. - Agensi

Artikel Berkaitan: