Hutan kawasan resort Nora Anne hilang terlalu tebal

Pemandangan dari udara di sekitar kawasan Kampung Pantai yang menjadi lokasi kehilangan seorang pelancong warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15. - Foto Bernama
Pemandangan dari udara di sekitar kawasan Kampung Pantai yang menjadi lokasi kehilangan seorang pelancong warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Kawasan sekitar resort penginapan Nora Anne Quoirin, 15, yang dilapor hilang diselubungi hutan tebal.

Keadaan itu menyukarkan pasukan penyelamat mengesan keberadaan remaja Ireland yang dilapor hilang sejak Ahad lepas ketika bercuti bersama keluarganya di resort itu.

"Hutan tebal menyelubungi kawasan itu dan agak sukar untuk mencari mangsa. Anggota kami sendiri pun kami tak nampak sebab (hutan) terlalu tebal,” kata Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar kepada Bernama di sini, hari ini.

Keadaan itu turut digambarkan jurugambar Bernama Mohd Izzul Farhan Ahmad Surianshah yang berpeluang menaiki helikopter bagi turut sama meninjau lokasi operasi yang dijalankan.

Beliau yang mengakui bukan mudah untuk menemui objek dalam keadaan hutan tebal, berkata sepanjang berada dalam helikopter itu, apa yang dapat dilihat ialah beberapa kawasan hutan seperti 'payung' menutupi daratan.

"Namun, ada sesetengah kawasan masih boleh nampak pasukan penyelamat menjalankan tugas mencari mangsa terutama di kawasan sungai dan loji air," katanya di sini, hari ini.

Sepanjang 15 minit pemantauan itu, Mohd Izzul Farhan berkata beliau turut dibawa meninjau lokasi chalet yang diduduki keluarga Nora Anne di sini.

"Selepas itu, saya dibawa meninjau di kawasan loji air dan helikopter ini membuat dua pusingan di kawasan berkenaan sebelum meneruskan penerbangan mengikut aliran sungai.

Artikel Berkaitan:

"Helikopter terbang tidaklah terlalu tinggi dan saya masih boleh nampak pergerakan orang di hutan yang tak tebal kecuali di kawasan yang hutannya sungguh tebal dan boleh nampak kawasan itu seperti hitam," katanya.

Sementara itu, Mohd Nor Marzukee berkata setakat tiga hari pencarian dengan cuaca yang baik, apa yang menjadi cabaran kepada PDRM ialah ketebalan hutan di kawasan itu.

Katanya, setakat hari ini, PDRM telah melakukan empat kali pemantauan melalui udara iaitu dengan hari ini sebanyak tiga kali.

"Yang pertama pagi tadi (pemantauan) dilakukan Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim, dan kedua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Wan Rukman Wan Hassan dan ketiga saya sendiri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencarian remaja Ireland, Nora Anne masih negatif

Beliau berkata walaupun berhadapan kesukaran dalam mencari remaja berusia 15 tahun yang dilapor mempunyai masalah pembelajaran itu menerusi pemantauan udara, ia bukan alasan untuk pihaknya berputus asa malah memberikan jaminan akan terus mencari remaja berkenaan.

Justeru, beliau menolak andaian pihak tertentu kononnya polis tidak serius dalam mencari remaja perempuan warga Ireland itu dan menegaskan semua aset seperti Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Senoi Praaq serta drone juga turut digerakkan.

Pada Ahad, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada pukul 8 pagi. -Bernama