Pencarian remaja Ireland, Nora Anne masih negatif

Beberapa orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan orang kampung dilihat keluar dari pusat peranginan Resort The Dusun Pantai Hill yang merupakan lokasi seorang pelancong dari Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dilaporkan hilang semasa bercuti bersama ahli keluarganya. -Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, setakat petang tadi di sekitar kawasan resort The Dusun Pantai Hill di sini masih negatif.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Mat Yusuf berkata, kawasan pencarian sebelum ini yang dilakukan di bahagian atas resort diulangi semula pagi dan bermula petang hingga malam tumpuan diubah ke bahagian lereng bukit dan sungai.

"Secara logiknya dia tidak lagi naik ke bahagian atas mungkin juga dia akan mencari sumber air. Kita andaikan dia turun ke bawah bukit bagaimanapun masih belum ada maklumat tepat mengenainya.

"Setakat pencarian jam 5 petang ini masih negatif," katanya ketika sidang media di balai polis dekat sini.

Mohammad berkata, beliau turut mengalu-alukan sebarang bentuk maklumat daripada orang awam berhubung kehilangan gadis itu.

"Kita tidak boleh buktikan itu termasuk unsur jenayah susulan tiada bukti setakat ini. Apa bentuk maklumat sekalipun sama ada mistik atau sebagainya kita terima dan kita akan semak," katanya.

Beliau berkata, bantuan daripada anjing pengesan yang turut digunakan dalam operasi itu hanya dapat mengesan jejak sekitar 100 meter dari lokasi gadis itu didakwa hilang.

"Pihak polis mengalami kesulitan dalam mengumpul maklumat bagi menjejaki gadis ini ekoran masih belum menjumpai petunjuk positif namun kita tidak akan putus asa untuk terus mencarinya.

"Kita sangat memerlukan bantuan orang awam terutamanya masyarakat orang asli kerana sekitar lokasi ini merupakan kawasan mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis Ireland hilang tiada unsur jenayah

Nora Anne Quoirin dilaporkan hilang dari rumah penginapan ketika bercuti dengan ahli keluarganya di Resort The Dusun Pantai Hill di sini pagi Ahad lalu.

Remaja itu disedari hilang jam 8 pagi selepas didapati tiada di biliknya oleh keluarganya.

Polis sebelum ini juga menafikan kehilangan gadis itu berkait dengan unsur jenayah dan kes itu masih di bawah klasifikasi sebagai orang hilang memandangkan tiada sebarang elemen unsur jenayah.