Orang Asli hilang di hutan masih belum ditemui

SAR bersambung pada Rabu selepas dua hari SAR lelaki warga emas itu masih belum menemui mangsa tersebut. Bah Mail (kanan) dipercayai keluar rumah kira-kira jam 8 pagi mencari hasil hutan pada Ahad.
SAR bersambung pada Rabu selepas dua hari SAR lelaki warga emas itu masih belum menemui mangsa tersebut. Bah Mail (kanan) dipercayai keluar rumah kira-kira jam 8 pagi mencari hasil hutan pada Ahad.
A
A
A

LIPIS - Seorang warga emas Orang Asli di Kampung Chekai dekat Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau di sini masih belum ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua pada Selasa selepas dilaporkan hilang pada Ahad.

Mangsa yang dikenali Bah Mail Pak Gendet, 76, dipercayai keluar rumah kira-kira jam 8 pagi untuk mencari hasil hutan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor memberitahu, warga emas itu yang menghidap penyakit darah tinggi tersebut tidak balik ke rumah selepas keluar pada hari kejadian.

Menurutnya, usaha pencarian mangsa telah dilakukan sekitar kawasan kampung namun tidak dijumpai pada Ahad sebelum laporan polis dibuat pada Isnin.

"SAR dilakukan pada hari pertama selepas mendapat maklumat dengan bantuan orang kampung namun gagal ditemui dan dihentikan kerana cuaca gelap sebelum bersambung pada Selasa.

"Pada hari ini (Selasa), seramai 13 anggota polis dan seorang pegawai dengan tiga jentera bersama 60 penduduk kampung dibahagikan kepada lima kumpulan terlibat dalam SAR di mana tempat terakhir mangsa dilihat dengan skop pencarian lebih kepada berjalan kaki," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, sehingga jam 1 petang, setakat maklumat yang diterima tiada kesan dan petunjuk mangsa yang hilang dengan jarak pencarian lebih kurang 3 kilometer (km) dari lokasi mangsa terakhir dilihat sebelum operasi bersambung pada jam 3 petang.

Ujar Azli, operasi dihentikan dan ditangguhkan pada jam 6.30 petang kerana keadaan cuaca gelap dan bersambung pada Rabu.

"Sehingga operasi ditangguhkan, warga emas itu masih belum ditemui dan kawasan SAR merupakan kawasan hutan/kebun getah berbukit serta tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang operasi dijalankan," tambah beliau.