Bimbang nasib keluarga di Jammu dan Kashmir

Kira-kira 250 orang tinggal di kem pelarian Manak Paiyan berhampiran Muzaffarabad.
Kira-kira 250 orang tinggal di kem pelarian Manak Paiyan berhampiran Muzaffarabad.
A
A
A

MUZAFFARABAD - Pelarian yang tinggal di wilayah Kashmir ditadbir Pakistan menyuarakan kebimbangan terhadap nasib ahli keluarga mereka di seberang sempadan Himalaya selepas India memansuhkan Artikel 370 yang menghapuskan status khas autonomi di wilayah didiami majoriti orang Islam itu semalam.

Kira-kira 250 orang tinggal di kem pelarian Manak Paiyan berhampiran Muzaffarabab, bandar terbesar di Kashmir ditadbir Islamabad selepas mereka melarikan diri daripada konflik di Jammu dan Kashmir pada 1990-an.

Kebanyakan daripada mereka masih mempunyai ahli keluarga yang menetap di Garisan Kawalan (LoC) di sepanjang sempadan de facto.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Saya risau tentang keluarga saya. Saya tidak mendapat sebarang maklumat tentang perkembangan mereka. Saya amat sedih kerana perkara itu,” kata Mohammad Altaf, 32.

Sementara itu, Khadija Bibi yang kehilangan bapanya dua hari lalu memberitahu dia tidak dapat menghubungi ahli keluarga yang lain.

“Jalan ditutup dan kami tiada akses untuk ke sana. Talian telefon, internet dan saluran komunikasi lain semuanya diputuskan.

“Kami mungkin tidak lagi dapat bertemu jika Kashmir tidak dibebaskan,” jelasnya.

Seorang lagi pelarian, Usman Hashim yang terpaksa meninggalkan keluarganya selepas melarikan diri ke kawasan itu pada 1992 berkata, dia bimbang jika perkara buruk menimpa mereka.

Artikel Berkaitan:

“Dunia perlu beri perhatian demi untuk menyelamatkan nyawa. Kebebasan datang kemudian,” tambahnya.

Kashmir dibahagikan antara India dan Pakistan sejak kemerdekaan pada 1947 dan selama tiga dekad bahagian yang ditadbir New Delhi menyaksikan pemberontakan berdarah yang meragut puluhan nyawa.

Difahamkan, terdapat kira-kira 38,000 pelarian dari wilayah Kashmir yang ditadbir India melarikan diri ke bahagian Pakistan. - Agensi