Kes remaja Ireland: Usah sebar, kongsi berita tidak benar

Mazlan
Mazlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihat untuk tidak menyebar atau berkongsi sebarang berita tidak benar mengenai kehilangan remaja perempuan warga Ireland yang dikenali sebagai Nora Anne Quoirin, 15, di Resort The Dusun, Seremban Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, ia bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa selain mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan usaha pencarian oleh pihak berkuasa.

"Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasi sebagai orang hilang.

"Ketua Polis Negeri Sembilan akan mengadakan sidang media setiap hari bagi melaporkan perkembangan terkini mengenai operasi yang dijalankan agar tidak timbul sebarang spekulasi yang boleh membangkitkan kegusaran awam," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya telah mempertingkatkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak remaja itu dilaporkan hilang.

Katanya, usaha pencarian memasuki hari ketiga dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

"Pada masa sama, penduduk setempat turut menggembleng usaha untuk mencari remaja berkenaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes remaja Ireland: Muhyiddin gesa guna kenyataan rasmi sahaja

Artikel Berkaitan: