X

Kindly register in order to view this article
!

Gadis Ireland hilang tiada unsur jenayah

Mohammad (tengah) menunjukkan gambar gadis Ireland yang dilaporkan hilang pada sidang media tadi.
A
A

SEREMBAN - Ketua Polis Negeri, Datuk Mohammad Mat Yusuf menafikan kehilangan gadis Ireland, Nora Anna Quoirin, 15, berkait dengan unsur jenayah.

Beliau menegaskan kes tersebut masih di bawah klasifikasi sebagai orang hilang memandangkan tiada sebarang elemen unsur jenayah.

"Saya ingin menegaskan kehilangan gadis ini tiada kaitan dengan unsur jenayah dan tiada sebarang elemen menunjukkan adanya unsur jenayah. Kita masih jalankan pencarian sebagai orang hilang.

"Jangan sesekali menokok tambah fakta, setakat ini tiada kaitan dengan penculikan atau dilarikan, masih diklasifikasikan sebagai orang hilang," katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai dekat sini malam ini.

Beliau berkata, pihak yang menyebarkan fakta tidak tepat boleh dikenakan tindakan dan berharap kerjasama media untuk melaporkan berita sahih yang dikeluarkan oleh pihak polis sahaja.

Katanya, sehingga tempoh ini pihaknya masih tidak dapat menemui sebarang petanda yang boleh dikaitkan dengan kehilangan gadis tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kehilangan remaja Ireland cetus misteri, kata Tok Batin

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan keluarga yang beranggapan anak mereka dilarikan, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut sebagai tidak tepat.

Katanya, siasatan awal mendapati tingkap di bilik tersebut dipercayai dibuka dari dalam, tiada menunjukkan sebarang kesan-kesan yang mencurigakan.

"Kita telah bercakap dengan keluarga gadis itu dan menerangkan bahawa kes ini sebagai orang hilang, tiada unsur jenayah atau penculikan seperti yang dikatakan media asing, langsung tiada kaitan.

"Kita yakin gadis itu masih berada di kawasan sekeliling. Usaha mencarinya masih diteruskan sehingga ke malam ini dengan memberi tumpuan di kawasan jalan utama dan denai berhampiran sungai. Kawasan pencarian juga telah dibesarkan sehingga 10 hektar, berbanding kawasan resort itu hanya 4.8 hektar," katanya.

Mohammad berkata, pihaknya juga telah mendapatkan perkhidmatan unit udara di Subang yang memberi bantuan helikopter untuk membantu mencari gadis tersebut.

Katanya, usaha mencari tidak ditangguhkan berikutan ada pasukan penyelamat khususnya pihak bomba yang bermalam di lapangan untuk meneruskan pencarian sehingga keesokan pagi, sebelum disambung dengan unit pasukan penyelamat yang lain.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!