Kupang kawasan Selat Tebrau Timur selamat dimakan

Azli Mohd Aziz
Azli Mohd Aziz
A
A
A

PASIR GUDANG - Kupang yang diternak di kawasan perairan Selat Tebrau Timur selamat dimakan tanpa ragu-ragu.

Perkara itu diakui Persatuan Nelayan Johor Selatan yang memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kupang di perairan itu menjejaskan kesihatan mana-mana pelanggan susulan kes pencemaran sungai sebelum ini.

Pengerusinya, Azli Mohd Aziz berkata, pengeluaran kupang di kawasan berkenaan juga mendapat permintaan menggalakkan sehingga pengusaha tidak dapat menampung permintaan.

"Sehingga hari ini, kupang itu selamat dimakan, tiada masalah. Permintaan tak mencukupi terutama dari Melaka yang tak putus-putus.

"Kupang bukan makanan utama tapi makanan yang dicari hari-hari. Tak ada lagi orang mati makan kupang walaupun terpalit kes pencemaran," katanya ketika sidang media pada Program Pemulihan Mata Pencarian bersama Petronas di Kampung Kuala Masai, di sini hari ini.

Menurutnya, ternakan kupang di perairan tersebut merupakan yang terbesar di Malaysia.

"Kita ada 129 pengusaha ternakan yang berskala besar dan kecil.

"Pengeluaran sebulan lebih 30 tan tapi akan ada satu atau dua bulan terputus sebab kita kena tuai walaupun ada yang besar atau kecil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kupang yang dipasarkan kini mempunyai tiga harga berbeza iaitu RM50 seguni tanpa dibersihkan, manakala RM3 sekilo bagi yang telah dibersihkan dan RM20 sekilo bagi isi yang telah siap direbus.