Di mana Nora Anne Quoririn?

Che Zakaria (tiga dari kiri) ketika mendengar penjelasan anggotanya mengenai operasi SAR di lokasi kejadian. (Gambar kecil: Nora Anne Quoririn)
A
A

SEREMBAN - Polis menambah kekuatan anggota dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoririn yang dilaporkan hilang semalam di Resort The Dusun Pantai Hill di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman berkata, kekuatan anggota bertambah berbanding semalam menjadi 119 anggota.

"Operasi SAR membabitkan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) dan penduduk tempatan termasuk masyarakat orang asli dekat sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja warga Ireland dilapor hilang di Seremban

"Hari ini juga kami mendapatkan bantuan satu platun pasukan dari Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, menjadikan jumlah keseluruhan 159 petugas," katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai di sini hari ini.

Che Zakaria berkata, kawasan pencarian juga diperluas sehingga kawasan hutan dan penempatan penduduk.

"Semalam kami telah melakukan operasi di kawasan seluas 4.9 hektar dan untuk hari ini kawasan akan diperluaskan.

Gerakan mencari menggunakan anjing pengesan.
Gerakan mencari menggunakan anjing pengesan.

"Pasukan dari PGA, JPNS dan orang asli akan memberi tumpuan di kawasan hutan manakala selebihnya operasi pencarian dilakukan di kawasan penempatan penduduk dan sekitar pantai," katanya.

Dalam pada itu, Che Zakaria turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat atau menemui remaja itu segera dimaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, resort tersebut dalam status Facebooknya memaklumkan, pihak pengurusan dan kakitangan Dusun sedang bekerjasama dengan polis mencari remaja berkenaan.

Pihaknya turut melahirkan kebimbangan atas kehilangan remaja itu dan berdoa agar Nora ditemui dengan selamat selain meminta kerjasama orang ramai segera menyalurkan maklumat berkaitan remaja itu.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang remaja warga Ireland yang mengalami masalah lembam hilang dari rumah penginapan ketika bercuti dengan ahli keluarganya di Resort The Dusun Pantai Hill di sini pagi semalam.

Mangsa Nora Anne Quoririn, 15, disedari hilang jam 8 pagi selepas didapati tiada di biliknya.