Dua ditahan terlibat kes pecah rumah sekitar Johor Bahru

Kenderaan dan barangan milik kedua-dua suspek yang dirampas.
Kenderaan dan barangan milik kedua-dua suspek yang dirampas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat kegiatan pecah rumah dan cubaan memecah masuk sebuah kediaman di Jalan Hijau Muda 7, Taman Pelangi, di sini pagi semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, suspek masing-masing berusia 43 dan 27 tahun itu ditahan di Taman Intan, Ulu Tiram kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

“Bertindak atas maklumat dan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah yang cuba dipecah masuk semalam, polis berjaya mengesan kedua-dua suspek.

“Mereka kemudian ditahan sepasukan polis dari Balai Taman Pelangi Indah ketika berada dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Ulu Tiram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta dinaiki suspek membawa kepada penemuan beberapa peralatan dan pelbagai barangan dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah.

“Soal siasat berjaya mendapat pengakuan daripada kedua-dua lelaki ini yang ada melakukan beberapa kegiatan pecah rumah termasuk kes di Taman Pelangi dan sekitar Johor Bahru.

“Semakan mendapati mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: