X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Tiga beranak 'berkampung' dua minggu di lobi hospital

Kisah keluarga ini tular di laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu selepas ia dimuat naik oleh seorang warganet prihatin bernama Sarimah Mohamed dan mendapat pelbagai reaksi netizen.
A
A

TEMERLOH - [DIKEMASKINI] Seorang wanita, Sarina Endut, 40, bersama dua anak perempuannya, Nor Zahidah Jamaluddin, 8, dan Nor Nadiah Jamaluddin, 6, dari Kampung Pulau Tawar, Jerantut terpaksa bermalam di lobi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh sejak dua minggu lalu kerana tidak mampu menyewa mana-mana bilik.

Menurut Sarina, mereka kesempitan wang sejak suaminya, Jamaluddin Uyub,59, dimasukkan ke wad kerana penyakit kanser usus sejak 24 Julai lalu.

Sarina yang merupakan bekas tukang cuci sekolah di Jerantut itu berkata, dia tidak mampu menyewa bilik selain memikirkan kos rawatan suaminya.

"Saya hanya datang bawa pakaian dan anak-anak kerana tak ada siapa boleh jaga rumah.Saya tak mampu nak berulang-alik dari Jerantut ke sini.

"Hari pertama kami tidur beralaskan kotak sebelum ada beberapa individu berikan selimut untuk kami anak beranak," katanya.

Sarina bersama Nor Zahidah dan Nor Nadiah (tengah) yang terpaksa bermalam di lobi hospital selama 14 hari sebelum ini.
Sarina bersama Nor Zahidah dan Nor Nadiah (tengah) yang terpaksa bermalam di lobi hospital selama 14 hari sebelum ini.

Kisah keluarga ini tular di laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu selepas ia dimuat naik oleh seorang warganet prihatin bernama Sarimah Mohamed dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Tambah Sarina, dia tidak menjangka kisahnya mendapat perhatian meluas pelbagai pihak selepas dua minggu dia memikirkan untung nasib keluarganya.

"Sedih dan gusar bila fikirkan anak-anak yang ditinggalkan di lobi. Saya turun naik nak jaga suami dan tengok anak-anak.

"Walaupun penat, tapi saya tak kisah janji dapat jaga suami dan anak-anak sekali," katanya lagi.

Katanya, suaminya yang bekerja sendiri mula mengidap pelbagai komplikasi penyakit itu sejak beberapa bulan lalu dan akan dipindahkan ke Hospital Selayang dalam minggu ini.

Mengakui lega kerana nasib mereka mendapat perhatian pelbagai pihak, Sarina bersyukur dan gembira dengan keprihatinan rakyat Malaysia.

Kini, Sarina dan anak-anaknya telah ditempatkan di sebuah bilik di Anjung Kasih Hoshas Temerloh selain menerima perhatian ADUN Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya dan keluarga.Jasa anda amat kami hargai," katanya.

Dalam pada itu, anak bongsunya, Nor Nadiah mengakui rasa takut setiap malam tetapi tidak kisah tidur beralaskan kotak.

Berhasrat menjadi seorang doktor kerana mahu merawat ayahnya, Nor Nadiah dan kakaknya sedar dengan kesulitan yang dihadapi oleh keluarganya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun RHB (15604400985507) atas nama Sarina Binti Endut dan berhubung di talian 011-58703005.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!