DAP akan sepakat buat pendirian isu tulisan jawi: Guan Eng

Pemimpin-pemimpin DAP menghadiri sesi taklimat berkaitan isu khat jawi di sekolah vernakular malam tadi. - Foto Facebook Lim Guan Eng.
Pemimpin-pemimpin DAP menghadiri sesi taklimat berkaitan isu khat jawi di sekolah vernakular malam tadi. - Foto Facebook Lim Guan Eng.
A
A
A

KUALA LUMPUR - DAP akan membuat pendirian berhubung isu tulisan jawi dan khat secara sepakat dan berpasukan.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat yang membabitkan semua wakil rakyatnya malam tadi.

"Perbincangan ini diadakan secara terbuka dan terus-terang. Yang penting ialah DAP mengambil pendirian bersama secara sepakat dan bukanlah seperti diuar-uarkan pihak tertentu.

"DAP akan menguruskan atau menangani perkara ini secara berpasukan kerana ada ura-ura kata DAP ada perpecahan, (tetapi) semua masih bersatu-padu. Kita telah mendengar banyak pandangan dan akan buat kenyataan secara rasmi kelak," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat parti itu berkaitan isu pelaksanaan khat jawi di sekolah vernakular di Ibu Pejabat DAP di sini malam tadi.

Mesyuarat itu berlangsung kira-kira empat jam dan dihadiri pemimpin-pemimpin tertinggi DAP Pusat dan negeri.

Terdahulu, Guan Eng dalam laman Facebooknya menulis, beliau mendapati timbul keresahan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina mengenai pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat termasuk di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

"Walaupun seni khat atau Jawi adalah sumber kepada bahasa Bahasa Malaysia, laporan berita itu berjaya menimbulkan kebimbangan bahawa karakter dan identiti sekolah-sekolah Cina dan Tamil akan terjejas. Saya mendengar semua pandangan wakil rakyat parti, aktivis masyarakat dan saya juga telah bertemu Perdana Menteri serta Menteri Pendidikan hari ini (semalam)," katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman itu mendapat bantahan ramai pihak termasuk 138 pemimpin akar umbi dan 13 Adun DAP.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin DAP tampil dengan nada lebih lembut terhadap isu berkenaan.

Antaranya ialah veteran DAP, Lim Kit Siang yang berkata, belajar tulisan jawi tidak akan menyebabkan orang Cina mengkhianati bangsa, bahasa dan kebudayaan mereka.

Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong pula berkata, beliau beruntung dapat mempelajari subjek Melayu klasikal termasuk tulisan jawi yang disifatkan tidak mengubah identiti sebaliknya memperkayakan pengalamannya.