JKKP keluar 11 notis larangan, lapan surat arahan

Mohd Zahari (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan di sebuah tapak bina di sini hari ini.
Mohd Zahari (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan di sebuah tapak bina di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu mengeluarkan 11 notis larangan dan lapan surat arahan kepada pemilik lif di Terengganu atas pelbagai ketidakpatuhan sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Zahari Hitam berkata, notis dan surat arahan kebanyakannya disebabkan alat peranti keselamatan tidak berfungsi dengan baik adalah hasil pemeriksaan dijalankan terhadap 487 unit lif yang ada di negeri ini.

Menurutnya, JKKP melakukan pemeriksaan lif secara berkala setiap 15 bulan bagi memastikan fungsi kemudahan itu berjalan dengan baik, sekali gus mengelak berlakunya kemalangan.

“Selain pemeriksaan JKKP, lif juga sebenarnya perlu diperiksa setiap tiga bulan oleh orang berkelayakan dan syarikat berdaftar dengan JKKP untuk mengesan sebarang kerosakan,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di sebuah tapak bina di sini semalam.

Pemeriksaan secara mengejut itu dijalankan sempena Operasi Cegah Kemalangan ke atas tapak bina yang diadakan selama sebulan bermula 14 Julai lalu dan ia lebih menumpukan kepada aktiviti kerja di tempat tinggi serta kerja-kerja konkrit.

Mohd Zahari berkata, melalui operasi itu, sebanyak 21 tapak pembinaan telah diperiksa oleh 15 pegawai JKKP dan pihaknya mengeluarkan 53 notis larangan serta-merta untuk menyita dan menghentikan pelbagai aktiviti berisiko tinggi di dalam tapak.

Selain itu katanya, JKKP turut memberi 12 notis penambahbaikan dan 32 surat arahan kepada kontraktor kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.

“Melalui operasi ini, 20 kertas siasatan dibuka bagi tujuan kompaun dan pendakwaan iaitu 17 kompaun dan tiga kes pendakwaan akan dikenakan kepada kontraktor yang melakukan pelbagai kesalahan serta pelanggaran undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Operasi kedua yang dijalankan pada tahun ini adalah bertujuan memastikan pematuhan terhadap akta keselamatan dan kesihatan pekerjaan selain meninjau tahap keberkesanan langkah-langkah pencegahan oleh kontraktor di tapak bina,” katanya.