Korea Selatan mahu hasilkan produk, peralatan tempatan

Penunjuk perasaan melaungkan slogan mengutuk Jepun selepas ia mengeluarkan Korea Selatan daripada 'senarai putih' rakan perdagangan yang boleh dipercayai.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan mengutuk Jepun selepas ia mengeluarkan Korea Selatan daripada 'senarai putih' rakan perdagangan yang boleh dipercayai.
A
A
A

SEOUL - Korea Selatan hari ini mengumumkan rancangan melabur kira-kira 7.8 trilion won (RM26.9 bilion) dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menggalakkan pengeluaran produk dan peralatan tempatan bagi tempoh tujuh tahun akan datang, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap Jepun.

"Kami mahu menukar krisis ini kepada peluang untuk industri peralatan, bahagian dan bahan," kata Menteri Industri, Sung Yun-mo.

Korea Selatan berhasrat untuk menghasilkan sendiri 100 komponen utama, bahan dan peralatan untuk membuat cip, bateri dan produk lain dengan matlamat untuk menstabilkan bekalan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Langkah itu dibuat selepas Tokyo pada Jumaat lalu mengeluarkan Seoul daripada 'senarai putih' negara rakan perdagangan yang boleh dipercayai yang meningkatkan lagi konflik antara kedua-dua negara berpunca daripada isu buruh paksa ketika era perang.

Bulan lalu, Jepun mengetatkan kawal terhadap eksport bahan yang digunakan untuk menghasilkan cip yang merupakan eksport utama ke Korea Selatan yang mengancam untuk mengganggu bekalan global yang digunakan syarikat teknologi gergasi seperti Apple dan Huawei. - Reuters

Artikel Berkaitan: