Jokowi kritik cara PLN tangani krisis bekalan kuasa terputus

Lebih 100 juta penduduk terpaksa bergelap akibat krisis bekalan kuasa elektrik terputus secara besar-besaran semalam.
Lebih 100 juta penduduk terpaksa bergelap akibat krisis bekalan kuasa elektrik terputus secara besar-besaran semalam.
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengkritik cara syarikat utiliti PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) menangani masalah bekalan kuasa terputus yang menjejaskan lebih 100 juta penduduk di Pulau Jawa dan wilayah sekitar kelmarin.

Beliau turut mempertikaikan PLN tidak mempunyai pelan luar jangka untuk mengelakkan krisis besar seumpama itu.

"Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pelan sokongan perlu ada. Perkara paling penting ialah saya telah meminta mereka membaikinya dengan cepat," katanya kepada pihak pengurusan ketika melawat ke ibu pejabat PLN hari ini.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada litar transmisi rosak yang menjejaskan operasi bekalan elektrik di loji kuasa ke bahagian barat Pulau Jawa.

Krisis bekalan kuasa itu adalah yang paling serius sejak masalah sama menyebabkan bekalan kuasa elektrik terputus di Jawa dan Bali pada 2005.

Masalah itu turut menjejaskan perkhidmatan sistem Transit Aliran Massa (MRT) dan laluan komuter di kawasan terlibat hingga menyebabkan beberapa penumpang terpaksa dipindahkan dari gerabak kereta api.

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PLN, Sripeni Inten Cahyani berkata, beliau masih melakukan operasi pemulihan dan memberi amaran tentang gangguan selanjutnya sehingga bekalan kuasa dipulihkan sepenuhnya.

"Kami memohon maaf. Kami berharap masalah bekalan kuasa ini akan pulih apabila lebih banyak operasi stesen bekalan kuasa besar disambung semula," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, PLN memerlukan masa untuk memulihkan perkhidmatan kerana kesemua loji jana kuasa arang batu tersebut memerlukan 'cold start' selepas gangguan untuk tempoh yang lama.

Dalam satu kenyataan lain, Pengarah PLN, Djoko Abumanan memaklumkan rolling blackouts (penutupan bekalan kuasa bergilir) perlu dilakukan di Jawa Timur dan Pulau Bali untuk mengurangkan beban di bahagian barat Jawa.

Jelasnya, mereka masih menyiasat punca sebenar kegagalan transmisi tersebut walaupun Cahyani memberitahu ia disebabkan oleh masalah teknikal.

Pengerusi Kesatuan Pekerja Perusahaan Negeri, Arief Puyono menyifatkan krisis bekalan kuasa itu memalukan kempen Jokowi untuk menarik lebih banyak pelaburan di negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.

"Kesemua Lembaga Pengarah PLN perlu bertanggungjawab atas kerugian disebabkan oleh gangguan tersebut," tegasnya. - Reuters