PH akan tetap tunaikan janjinya

Lim Guan Eng -Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Meskipun sering kali dilabel sebagai kerajaan yang gagal menepati janjinya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tetap optimis Pakatan Harapan (PH) mampu melaksanakan janji yang diumumkan sebelum ini.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berulang kali menyuarakan keyakinan sebegitu dan beliau sememangnya dikenali sebagai seorang yang menepati janji.

“Sama dengan kerajaan PH, kita pun akan berusaha untuk laksanakan janji-janji yang kita telah umumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Percukaian Kebangsaan 2019 anjuran Institut Percukaian Malaysia (CTIM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Seri Sabin Samitah dan Presiden CTIM, Farah Rosley.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan dalam aspek ekonomi, beliau yakin kerajaan mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Sekiranya ada perkara berkaitan ekonomi, ia bukanlah berdasarkan prestasi ekonomi tetapi berdasarkan ketidaktentuan politik.

“Sebenarnya keadaan politik Malaysia masih stabil dan tidak harus berlaku apa-apa ketidaktentuan politik kerana kita adalah kerajaan yang memenuhi janji,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Guan Eng sekali lagi menegaskan kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai warisan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.

“Biar saya tegaskan sekali lagi kerana saya ditanya berulang kali berhubung perkara ini. Dalam belanjawan akan datang, saya ditanya adakah kerajaan berniat untuk memperkenalkan cukai warisan.

“Biar saya beritahu anda jawapannya. Jawapannya adalah tidak, tiada cukai warisan,” katanya disusuli tepukan peserta yang menghadiri majlis tersebut.

Spekulasi mengenai cukai warisan akan diperkenalkan telah berlegar sejak sebelum pembentangan Bajet 2019 di mana pasaran bimbang ia akan mengurangkan minat pelabur terutamanya di Bursa Malaysia.

Kerajaan bagaimanapun ada mencadangkan cara untuk meningkatkan hasil cukai termasuk menerusi program pengisytiharan sukarela khas.

Ia membolehkan pembayar cukai secara sukarela mengisytiharkan sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan, termasuk pendapatan yang disimpan dalam akaun luar pesisir.

Sementara itu, Guan Eng ketika ditanya tentang isu berkaitan kilang nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas), beliau menegaskan pihaknya akan membincangkan perkara itu namun bukan pada majlis tersebut.

“Saya fikir menteri terlibat telah bercakap mengenai perkara itu. Kita akan membincangkan perkara tersebut tapi bukan di sini. Saya lebih suka untuk bercakap tentang perkara ini di venue lain,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat reruai disediakan dalam persidangan tersebut.

Beliau menjawab demikian sebagai respons kepada soalan wartawan yang bertanya dalam usaha negara menarik pelaburan dari luar negara, adakah negara memerlukan syarikat seperti Lynas yang mungkin mendatangkan bahaya kepada masyarakat.

Semalam, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menjelaskan situasi sebenar berhubung kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

Beliau berkata, kerajaan tersepit berhubung isu Lynas kerana pihak yang mendapat manfaat daripada hasil nadir bumi diproses di kilang tersebut ialah Jepun.