MBJB bakal gempur peniaga tiada lesen

Amran A Rahman
Amran A Rahman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun atau menjalankan tindakan sitaan barangan ke atas peniaga yang masih lagi gagal mendapatkan lesen perniagaan di kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata, ingatan tersebut juga diberikan kepada peniaga yang tiada lesen perniagaan dan telah diberikan notis peringatan daripada pihaknya.

"Pada bulan Julai lalu, Jabatan Pelesenan bersama Jabatan Penguatkuasaan MBJB telah mengadakan dua siri program bancian lesen perniagaan di beberapa kompleks pasar raya sekitar bandar raya Johor Bahru.

"Hasil semakan yang telah dijalankan, masih terdapat segelintir peniaga yang berniaga tanpa lesen meskipun telah lama menjalankan perniagaan itu. Peniaga-peniaga tersebut telah diberi notis peringatan untuk memohon atau mendapatkan lesen perniagaan dengan kadar segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB Bilangan-7 Tahun 2019 di sini hari ini.

Amran berkata, program bancian itu merupakan sebahagian daripada perancangan tahunan Jabatan Pelesenan dalam memastikan pemilik premis yang menjalankan aktiviti perniagaan mempunyai lesen yang sah daripada MBJB.

Katanya, pendekatan itu diambil bagi memberi penekanan kepada peniaga agar mendapatkan lesen perniagaan terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang aktiviti perniagaan.

"Program bancian lesen perniagaan ini akan dijalankan dari masa ke semasa dan saya berharap, usaha ini dapat mengurangkan lagi jumlah aktiviti perniagaan yang dijalankan tanpa lesen sah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut memaklumkan lesen perniagaan hanya akan diperbaharui jika tiada tunggakan cukai harta direkodkan di premis perniagaan berkenaan.

"Ia adalah syarat tambahan bagi pembaharuan lesen perniagaan bagi tahun 2020.

"Langkah ini diambil bagi meningkatkan kesedaran pembayar cukai serta memastikan jumlah tunggakan cukai harta dapat dikurangkan dengan berkesan, memandangkan jumlah tunggakan cukai harta di dalam kawasan MBJB mencatatkan peningkatan tahun demi tahun," katanya.