Peluang murid bukan Melayu kuasai tulisan jawi

Sebahagian guru dan peserta yang menjayakan kem jawi di SK Sokor Tanah Merah.
Sebahagian guru dan peserta yang menjayakan kem jawi di SK Sokor Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Pembelajaran tulisan jawi yang bakal diperkenalkan di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil dan Cina tahun hadapan merupakan usaha yang amat baik dan ia peluang kepada pelajar bukan Melayu menguasai tulisan itu.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sokor, Mohd Alias Yusoff berkata, ternyata usul yang dikemukakan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai kaedah pembelajaran jawi kepada kaum lain bukanlah satu isu malah ia pendekatan yang baik.

"Lagipun takkan hilang adat resam dan budaya bangsa lain dengan mempelajari tulisan jawi, maka usaha kementerian harus dipuji dan disokong.

"Sebelum ini kita pernah menggunakan tulisan jawi dalam akhbar dan ia merupakan bahasa surat yang digunakan sejak dahulu lagi, namun ia agak terpinggir kini dan semakin dilupakan. Kita orang Melayu pun ada yang tidak boleh membaca jawi," katanya ketika ditemui selepas program kem jawi di SK Sokor di sini.

Mengulas lanjut Mohd Alias berkata, kem berkenaan turut memberi pendedahan kepada guru berkaitan teknik dan kaedah pengajaran tulisan jawi yang betul dan lebih berkesan.

"Kita harap dengan adanya kem seumpama ini dapat mendedahkan murid untuk menguasai tulisan jawi dengan baik, sekaligus dapat menjadikan sekolah ini berada di tahap yang lebih baik," katanya.

Baru-baru ini, isu tulisan jawi hangat diperkatakan selepas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mengumumkan penggunaan tulisan jawi akan digunakan dalam buku teks di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Keputusan itu turut membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid tahun empat menjelang tahun hadapan.

Artikel Berkaitan: