PLN nafi insiden 'black out' ada unsur sabotaj

Penduduk sekitar Jakarta terpaksa bergelap berikutan bekalan kuasa elektrik masih belum pulih. - Foto Tribunnews
Penduduk sekitar Jakarta terpaksa bergelap berikutan bekalan kuasa elektrik masih belum pulih. - Foto Tribunnews
A
A
A

JAKARTA - Ketua Pengarah syarikat utiliti PLN, Sripeni Inten Cahyani menolak insiden bekalan kuasa elektrik terputus di Pulau Jawa adalah atas sebab politik atau sabotaj pihak tertentu.

Menurutnya, kejadian itu disebabkan oleh masalah teknikal.

"Blackout seperti ini pernah berlaku di kawasan Jawa dan Bali pada 1997 dan insiden serupa juga terjadi di Paiton, Grati pada September lalu," ujarnya.

Puluhan juta penduduk di Pulau Jawa yang berpopulasi padat terjejas akibat bekalan elektrik terputus selepas berlaku gangguan di beberapa loji kuasa sejak tengah hari tadi.

Gangguan bekalan kuasa yang berlarutan kira-kira enam jam itu turut berlaku di beberapa bahagian di Jakarta yang didiami kira-kira 30 juta penduduk hingga memaksa penutupan sementara perkhidmatan sistem Transit Aliran Massa (MRT).

Beberapa penumpang berjaya dipindahkan dari gerabak MRT ketika insiden itu berlaku yang mana ia turut menjejaskan pengangkutan kereta api di bandar raya terbabit.

Kejadian yang berlaku sekitar waktu tengah hari itu juga mengakibatkan gangguan sekali-sekala perkhidmatan telefon bimbit dan mesin tunai serta lalu-lintas terjejas kerana lampu isyarat tidak berfungsi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kota Jakarta terputus bekalan elektrik sejak 12 tengah hari

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan bangunan dilaporkan terpaksa menggunakan penjana kuasa.

PLN dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu berpunca apabila turbin gas di loji kuasa utama gagal beroperasi kerana gangguan di kemudahan lain di hujung barat Jawa.

"Kami sedang berusaha untuk memulihkan sistem ini untuk memastikan bekalan kuasa kembali normal," jelasnya lagi yang turut memohon maaf atas masalah itu. - Agensi