Bahana masuk laluan bertentangan

Keadaan kereta jenis Proton Iswara dinaiki mangsa yang maut mengalami kerosakan teruk setelah terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berdekatan Surau Batu 20, Kampar hari ini. Gambar kecil: Muhammad Hanif
Keadaan kereta jenis Proton Iswara dinaiki mangsa yang maut mengalami kerosakan teruk setelah terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berdekatan Surau Batu 20, Kampar hari ini. Gambar kecil: Muhammad Hanif
A
A
A

KAMPAR - Seorang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berdekatan Surau Batu 20, di sini hari ini.

Mangsa, Dhewin John, 22, dari Taman Perak Mewah di sini yang merupakan penumpang hadapan kereta jenis Proton Iswara meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Kampar.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat awam menyatakan terdapat satu kemalangan melibatkan dua kereta dan sebuah van di Kilometer 31 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berdekatan Surau Batu 20, di sini, kira-kira jam 7 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur, manakala sebuah kereta jenis Honda City dan van jenis Nissan Vennete dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Proton Iswara itu dipercayai telah memasuki laluan bertentangan kerana pemandu mengantuk berdasarkan pengakuan mangsa sendiri.

"Situasi itu mengakibatkan pertembungan dengan kereta kedua jenis Honda City yang berada di laluan tersebut.

"Akibatnya, kereta jenis Honda City terbabit terbabas ke laluan Ipoh-Kuala Lumpur sebelum didatangi van yang terdahulu berada di belakang kereta Honda City bertindak merempuh bahagian belakang kereta Proton Iswara," katanya kepada media di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

Manakala di Manjung, seorang pemuda maut setelah motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah motosikal lain akibat memasuki laluan bertentangan di Kilometer 11.5 Jalan Lumut-Ayer Tawar, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, dalam kejadian jam 8.20 malam itu, motosikal jenis Yamaha LC ditunggang mangsa lelaki berusia 20 tahun bertembung dengan motosikal jenis Honda Wave sewaktu dalam perjalanan dari Kampung Deralik menghala Setiawan.

"Penunggang motosikal Yahama LC cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di wad kecemasan pada jam 9.40 malam semalam," katanya.

Kedua-dua kes berasingan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.