Johor sedia wujudkan kawasan perindustrian baharu: MB

 Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan Johor tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan sebuah kawasan perindustrian baharu yang berada di luar Pasir Gudang.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, perkara itu berikutan keadaan semasa kawasan perindustrian Pasir Gudang yang sudah padat dengan pembangunan.

"Nanti pihak Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) akan lihat kajian kesesuaian untuk kita buat tapak perindustrian yang baharu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang di Stadium Tertutup Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.

Sahruddin berkata, untuk tempoh jangka panjang, Kerajaan Johor juga sudah merancang dan membuat kajian bagi memastikan kawasan Pasir Gudang lebih lestari.

"Nanti kita akan tengok hasil daripada kajian itu, apa yang perlu kita buat untuk memastikan kawasan di Pasir Gudang lebih lestari.

"Mungkin kalau ada kilang yang perlu dipindahkan, kita akan pindahkan," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan berpuas hati di atas komitmen semua agensi serta jabatan terlibat dalam mendepani dua insiden yang berlaku di Pasir Gudang.

"Alhamdulillah semua agensi, semua ketua-ketua jabatan telah memainkan peranan yang sangat proaktif. Setakat ini memang kita sangat berpuas hati," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai pampasan yang dibangkitkan oleh penduduk Pasir Gudang dalam sesi Townhall, Sahruddin berkata, perkara tersebut akan dibincangkan oleh kerajaan negeri.

Selain itu, katanya, penganjuran sesi Townhall itu diharapkan dapat memberikan penerangan kepada jemputan yang hadir terdiri daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak sekolah.