Gerakan Simpang Renggam tolak Azmin sertai parti

Teck Meng (belakang, tengah) selepas Mesyuarat Perwakilan Gerakan Bahagian Simpang Renggam.
Teck Meng (belakang, tengah) selepas Mesyuarat Perwakilan Gerakan Bahagian Simpang Renggam.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Bahagian Simpang Renggam menyeru pucuk pimpinan parti supaya menolak penyertaan ahli politik yang bermasalah dan mempunyai kes dakwaan skandal dalam parti berkenaan.

Ketua Bahagiannya, Datuk Liang Teck Meng berkata, Gerakan juga kecewa terhadap kenyataan Naib Presiden parti itu, Datuk G Parameswaran yang sedia menerima penyertaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempunyai dakwaan skandal.

"Gerakan adalah sebuah parti yang berintegriti dan bersih, kami menolak sekeras-kerasnya kemasukan pemimpin atau ahli-ahli politik yang mempunyai masalah.

"Sebenarnya, kenyataan tersebut tidak menggambarkan pendirian keseluruhan ahli parti dan kami ingin mengingatkan pucuk kepimpinan parti bahawa Gerakan hanya akan bangkit semula dengan cara merealisasikan ideologi parti, bukan melalui cara menerima kemasukan ahli-ahli politik yang bermasalah," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan Gerakan Bahagian Simpang Renggam di Pejabat Gerakan Bahagian Simpang Renggam, di sini malam tadi.

Terdahulu, Mohamed Azmin didakwa akan menyertai Parti Gerakan disebabkan pergeseran beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan tersebar video aksi intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya mengekalkan keputusan yang dibuat oleh kerajaan BN terdahulu dalam isu tapak pelupusan sampah di Ladang CEP Renggam dan menutup operasi di tapak tersebut untuk selama-lamanya.

"Susulan daripada pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal pada 27 Julai lalu bahawa kerajaan negeri akan meneruskan projek pelupusan sampah di Bukit Payong, Batu Pahat, kami harap tidak akan ada aksi 'u-turn' selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana, projek pelupusan sampah di Bukit Payong yang dilaksanakan oleh kerajaan BN pada tahun 2017 telah menerima bantahan keras daripada PH yang memerintah pada hari ini dan tapak pelupusan sampah CEP Renggam hanya akan ditutup selama-lamanya apabila Projek di Bukit Payong dapat disiapkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hasrat Azmin sertai Gerakan disampaikan pemimpin PH