Nelayan minta jambatan baharu dibina lebih tinggi

Mohd Zaid (dua dari kiri) dan Mohd Khusarni (dua dari kanan) bersama wakil masyarakat di sekitar Kuala Besut menunjukkan alur Sungai Nail yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan sekiranya jambatan ditinggikan.
Mohd Zaid (dua dari kiri) dan Mohd Khusarni (dua dari kanan) bersama wakil masyarakat di sekitar Kuala Besut menunjukkan alur Sungai Nail yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan sekiranya jambatan ditinggikan.
A
A
A

KUALA BESUT- Nelayan dan penduduk di sini memohon agar jambatan baharu berhampiran Balai Polis Kuala Besut dibina dengan reka bentuk lebih tinggi di bahagian bawah.

Pengerusi Kumpulan Nelayan-nelayan Kecil Kampung Payang, Mohd Zaid Abd Rahman berkata, pihaknya difahamkan kerajaan akan membina jambatan baharu bagi menggantikan jambatan sedia ada yang sudah berusia lebih 30 tahun itu.

“Kami harap kerajaan membina jambatan baharu sama seperti jambatan yang terdapat di Pekan Baru berhampiran Pasar Kuala Besut.

"Sekiranya jambatan itu dibina lebih tinggi ia akan membolehkan bot-bot kecil menyusuri Sungail Nail di bawah jambatan itu untuk ke pasar Kuala Besut," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, apabila bot kecil dapat menyusuri anak sungai itu sekali gus dapat menjadikan tempat bot kecil berlabuh semasa musim tengkujuh.

“Malah bot kecil dari Pulau Perhentian juga boleh terus mendapatkan bahan mentah di pasar basah dan pasar raya berdekatan.

"Buat masa ini sungai tersebut tidak dapat dimanfaatkan kerana bot tidak boleh melepasi jambatan rendah itu," katanya.

Sementara itu, pengusaha pelancongan di Kuala Besut, Mohd Khusarni Abd Manaf berkata, Sungai Nail yang melalui di bawah jambatan berpotensi menjadi tarikan pelancong.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaid (kanan) bersama wakil-wakil masyarakat menunjukkan jambatan sedia ada berdekatan Balai Polis Kuala Besut yang rendah.
Mohd Zaid (kanan) bersama wakil-wakil masyarakat menunjukkan jambatan sedia ada berdekatan Balai Polis Kuala Besut yang rendah.

"Sungai Nail boleh dimajukan menjadi laluan bot kecil dan dibangunkan sebagai lokasi aktiviti pasar terapung berdekatan pasar Kuala Besut.

“Usaha ini akan melengkapkan lagi Kuala Besut dan Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan terkenal dan pada masa sama dapat meningkatkan ekonomi rakyat.

“Sehubungan itu, saya juga merayu kerajaan agar membina jambatan tersebut lebih tinggi di bahagian bawahnya bagi membolehkan bot kecil lalu di bawahnya,” katanya.