Penduduk diminta jangan panik khabar angin gempa susulan

Bumbung sebuah rumah di Pandeglang, Banten runtuh selepas gempa bumi berkekuatan 7.4 magnitud melanda wilayah itu semalam.
Bumbung sebuah rumah di Pandeglang, Banten runtuh selepas gempa bumi berkekuatan 7.4 magnitud melanda wilayah itu semalam.
A
A
A

JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia meminta penduduk yang terjejas dengan kejadian gempa bumi di pesisir Sumatera dan Pulau Jawa supaya tidak panik dengan khabar angin berhubung gempa susulan berkekuatan 9 magnitud.

Ketua Jabatan Meteorologi, Kajian Iklim dan Geofizik (BMKG), Rahmat Triyono turut menasihati orang ramai supaya menghentikan penyebaran khabar angin itu di media sosial.

Dalam kejadian semalam, satu gempa bumi berkekuatan 7.4 magnitud menggegarkan wilayah Indonesia pada jam 7.03 malam (waktu tempatan).

Media Indonesia melaporkan, gempa berpusat 147 kilometer barat daya Sumur, Banten pada kedalaman 10 kilometer.

Susulan itu, BMKG mengeluarkan amaran tsunami di Pandeglang, Lampung dan Sukabumi namun menarik balik amaran tersebut pada jam 9.35 malam.

"Tidak benar sama sekali. Sehingga kini, tiada siapa pun tahu bila gempa susulan berlaku dan berapa kekuatannya.

"Orang ramai diminta bertenang dan sentiasa berwaspada. Jangan mudah percaya dengan berita yang tidak sahih.

"Paling penting rujuk media sosial rasmi BMKG untuk mengetahui sebarang informasi mengenai gempa bumi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB) berkata, seramai empat orang disahkan meninggal dunia selepas gempa menggegarkan Banten.

Namun, kesemua mangsa bukan mati dihempap runtuhan bangunan sebaliknya meninggal dunia akibat mengalami serangan jantung.

Agensi itu juga berkata, orang ramai yang berlari ke tanah tinggi, termasuk 1,000 yang berlindung di pejabat gabenor di Lampung sudah kembali ke rumah mereka.

"Lebih 1,000 penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara telah kembali ke rumah masing-masing selepas pihak berkuasa mengesahkan keadaan selamat," kata jurucakap BNPB, Agus Wibowo.

Tambah Agus, kira-kira 200 bangunan mengalami kerosakan dan 13 rumah musnah.

Indonesia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, yang kerap dilanda gempa bumi dan kadang-kadang diiringi tsunami.

Tahun lalu, gempa bumi berkekuatan 7.5 magnitud dan tsunami melanda Palu di Sulawesi menyebabkan lebih 2,200 orang terkorban.

Lebih 1,000 turut diisytiharkan hilang dalam bencana alam tersebut. - Agensi