15 tong hitam berisi bahan kimia ditemui di ladang kelapa sawit

A
A
A

KUANTAN - Lima belas buah tong hitam yang dipercayai mengandungi bahan kimia sodium sianida dalam bentuk pepejal ditemui di ladang kelapa sawit di Karak, Bentong dekat sini.

Penemuan tong tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pihaknya mendapat makluman mengenai perkara ini setelah menerima laporan daripada penduduk pada Khamis lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati walaupun bahan kimia tersebut akan mengeluarkan gas jika terkena air, namun tiada kewujudan wap gas sianida di kawasan itu di samping bahan tersebut bersifat pepejal.

"Setelah menerima laporan, kita segera menghantar JAS dan Hazmat ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan. Sampel bahan kimia itu juga kita telah hantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi pengesahan.

"Walaupun belum mengetahui bahan kimia tersebut digunakan untuk apa, namun ada maklumat di tong mengatakan ia mengandungi sodium sianida untuk digunakan bagi tujuan mencuci emas," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shakar berkata, agensi kerajaan yang terlibat termasuk pihak polis telah membuat pemeriksaan di sebuah lombong emas yang beroperasi di Kampung Cinta Manis, Bentong.

Menurutnya, agensi terbabit giat mencari pemilik tong tersebut bagi memastikan perbuatan yang mementingkan diri ini dapat dihindari di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah membuat permohonan berhubung status lombong emas itu di Pejabat Tanah dan Daerah Bentong dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengetahui jika tong tersebut berasal dari situ.

"Buat masa sekarang, kita menunggu dahulu jawapan daripada pejabat tanah dan analisis jabatan kimia sebelum mengambil tindakan lanjut," katanya.