Wanita terjatuh jambatan alami tekanan perasaan

Polis mengambil keterangan mangsa di Hospital Pulau Pinang.
Polis mengambil keterangan mangsa di Hospital Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Wanita yang terselamat selepas terjatuh di Jambatan Pulau Pinang petang semalam disahkan mengalami tekanan perasaan akibat kematian ibunya sejak 17 hari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, daripada keterangan suami mangsa, sebelum ini isterinya telah menerima rawatan psikiatri di Hospital Bukit Mertajam kerana mengalami tekanan perasaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga suri rumah itu tidak mempunyai motif lain selain daripada mengalami tekanan perasaan.

"Hasil soal siasat awal terhadap mangsa mendakwa, ketika kejadian dia hanya duduk di tebing jambatan selepas kereta dipandunya mengalami kerosakan. Dia kemudian terjatuh ke laut tanpa disedari.

"Mangsa juga mengatakan tidak tahu berenang namun tahu teknik mengapungkan badan seperti mayat. Tindakannya itu menyebabkan mangsa tidak tenggelam sebaliknya hanyut," katanya ketika dihubungi tadi.

Kereta mangsa ditemui diletakkan di tepi jambatan sebelum mangsa terjatuh.
Kereta mangsa ditemui diletakkan di tepi jambatan sebelum mangsa terjatuh.

Che Zaimani berkata, akibat daripada kejadian itu, mangsa hanya mengalami kecederaan di tangan akibat disengat obor-obor dan kini dirawat serta ditahan di wad Hospital Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Semalam, seorang wanita dikhuatiri lemas selepas terjatuh di KM6.8 Jambatan Pulau Pinang dari arah Perai menuju ke bandar pada jam 5 petang.

Wanita berusia 36 tahun itu dilihat terjatuh oleh orang awam selepas meninggalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza di tepi jambatan.

Sehubungan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dan BBP Jalan Perak bersama Pasukan Polis Marin (PPM) ke lokasi kejadian serta melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa gagal ditemui dan operasi itu terpaksa ditangguhkan pada jam 6.30 petang kerana faktor cuaca.

Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Permatang Pauh itu ditemui selamat di Straits Quay pada jam 10 malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita dikhuatiri terjatuh Jambatan Pulau Pinang