[DIKEMASKINI] Jeritan akhir suami

A
A
A

KLANG - [DIKEMASKINI] Seorang isteri hanya mampu mendengar jeritan akhir suaminya sebelum mangsa ditemui rentung dalam kebakaran sebuah restoran di Lorong Nipah 3, Taman Chliung, Pandamaran di sini pagi tadi.

Difahamkan, api yang marak menyebabkan isteri mangsa tidak dapat masuk ke ruang di bahagian belakang restoran itu untuk menyelamatkan suaminya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 7.30 pagi sebelum tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

Seramai 27 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba (BBP) dan Penyelamat Pelabuhan Klang, BBP Andalas dan BBP Kota Raja bergegas ke lokasi.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang merupakan pemilik restoran terbabit sedang tidur di sebuah bilik yang bersambung dengan bangunan restoran.

“Isteri mangsa beritahu ketika kejadian dia berada di dapur manakala suaminya, Lim Kim Book berusia 68 tahun sedang tidur dalam bilik.

“Sebaik mendengar jeritan suaminya, isteri mangsa cuba untuk masuk tetapi gagal kerana api marak membakar premis terbabit. Wanita terbabit kemudian berlari keluar menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kejadian melibatkan sebuah restoran jenis bangunan kelas C berkeluasan 80x80 kaki.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, anggaran kemusnahan bangunan melibatkan hampir 80 peratus dan anggota bomba berjaya mengawal api pada jam 8.10 pagi.

Katanya, Bahagian Penyiasatan Kebakaran dan Unit Anjing Pengesan JBPM Selangor turut ke lokasi untuk mengenal pasti punca kejadian, manakala jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Ketika kejadian, restoran belum memulakan operasi dan tiada pelanggan terlibat.