Jawatankuasa disiplin Amanah siasat dakwaan politik wang

Mohd Sany ketika merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Kedah di Teluk Nipah Pantai Merdeka di sini semalam.
Mohd Sany ketika merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Kedah di Teluk Nipah Pantai Merdeka di sini semalam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jawatankuasa Pemilihan dan Disiplin Parti Amanah Negara (Amanah) sedang menyiasat dakwaan berlaku politik wang sempena pemilihan parti berkenaan.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, dua jawatankuasa terbabit sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kesahihannya.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang kepastian mahupun kesahihan berhubung perkara itu.

"Kalaulah perkara ini benar terjadi saya nak minta bukan setakat perwakilan tetapi kira-kira 100,000 ahli tidak kira di peringkat cawangan, kawasan, negeri dan di peringkat nasional, kita bersepakat untuk menolak budaya politik wang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Kedah 2019 di Kem Harmoni Adventure, Teluk Nipah, Pantai Merdeka di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Menurutnya, politik wang boleh memberi kesan terhadap parti seperti apa yang berlaku terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

"Maksudnya pilih pemimpin ini berdasarkan kepada berapa yang mereka boleh beri, berapa kemampuan mereka untuk membeli perwakilan, saya rasa ini budaya politik tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

"UMNO dan Barisan Nasional kalah sebab mereka ada wang berbilion ringgit. Sebab itulah rakyat memilih Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu sebab PH telus, bersih dan kita menolak sama sekali budaya politik wang, rasuah dan sebagainya," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga ADUN Taman Templer berkata, Amanah menerima kemasukan ahli baharu lebih 11,000 orang setiap bulan.

"Setiap kali mesyuarat peringkat nasional kita meluluskan hampir 11,000 hingga 15,000 keahlian dalam tempoh sebulan, yang mana ini satu signal sangat baik dari masyarakat dan rakyat untuk sama-sama menawarkan khidmat bakti bersama Amanah.

"Sebab itu mereka bersedia menjadi ahli dan bersedia memikul tugas bersama Amanah," katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya, Konvensyen Pemuda Kedah adalah negeri kedua selepas Pulau Pinang, seterusnya disusuli Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak sebelum diteruskan negeri lain sehingga pertengahan September ini.