Bersatu tak boleh ganti Umno

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
A
A
A
SHAH ALAM - Bersatu tidak boleh menggantikan Umno meskipun parti itu mendakwa mereka adalah parti orang Melayu dan Bumiputera.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, walaupun bukan lagi bergelar kerajaan, Umno akan tetap menjadi pilihan utama orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana dahulu, kecuali di Pahang dan Perlis.

Beliau berkata, penghijrahan beberapa wakil rakyat Umno tidak boleh dijadikan ukuran untuk mengatakan parti Melayu tertua itu sudah lumpuh kerana tindakan mereka tidak disertai dengan jumlah ahli yang ramai, melainkan penyokong tegar masing-masing.

Malah katanya, kehilangan mereka juga tidak menyebabkan Umno di kawasan berkenaan terbubar.

"Sebaliknya apabila mereka bertindak meninggalkan parti, ia dengan mudah diganti oleh pemimpin muda yang lebih baik, bertenaga dan bersemangat.

"Ini dengan sendirinya berlaku proses peralihan kuasa kepada generasi baru dan pembersihan parti secara semula jadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PRU14 lalu menyaksikan PH memperoleh kemenangan dengan 113 kerusi Parlimen, ditambah dengan lapan kerusi dimenangi Parti Warisan Sabah (Warisan), mereka mempunyai 121 kerusi sekali gus membentuk kerajaan, manakala BN hanya menang 79 kerusi Parlimen, Pas (18), Bebas (3) dan Parti Solidariti Tanah Airku (1).

Namun selepas insiden lompat parti melibatkan ahli Parlimen Umno keluar parti dan menyertai Bersatu baru-baru ini, PH kini menguasai 128 daripada 222 kerusi Parlimen, melibatkan 16 kerusi daripada Bersatu, Amanah (11), DAP (42), PKR (50) dan Warisan (9).

Shamsul Anuar berkata, Umno jauh lebih baik berbanding Bersatu kerana mempunyai sistem pentadbiran yang bersistematik.
Artikel Berkaitan:


"Umno mempunyai pimpinan yang tersusun daripada peringkat cawangan, bahagian, negeri hinggalah ke Umno Pusat.

"Jauh berbeza di mana, tidak kedengaran pun mesyuarat cawangan atau bahagian Bersatu diadakan hanya diadakan di peringkat pusat sahaja. Ini bukti Umno mempunyai kekuatan lebih baik berbanding Bersatu," katanya.

Beliau berkata, mereka yang keluar perlu dibiarkan kerana akan menjadi barah yang akhirnya memusnahkan parti dari dalam jika terus berada dalam Umno.

Menurutnya, paling utama, ideologi dan falsafah serta prinsip perjuangan Umno tetap kekal utuh biar apa pun berlaku.

"Umno akan terus menjadi parti yang berjuang membela kepentingan Melayu, Bumiputera dan memelihara kepentingan kaum-kaum lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau juga meminta ahli Umno jangan bimbang dengan perubahan dan pendekatan baharu yang bakal dilakukan parti, sebaliknya meminta semuanya fokus menyokong kepimpinan parti serta memainkan peranan untuk kembali berkuasa.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar turut meminta kepimpinan Pas tidak bimbangkan Umno kerana apa yang berlaku kepada parti itu adalah lebih kurang sama ketika penghijrahan pimpinan serta ahli Pas apabila tertubuhnya Amanah.

"Biarpun Amanah wujud, namun Pas tetap kuat, maka biarpun beberapa wakil rakyat Umno meninggalkan Umno, kita tetap yakin Umno tetap sebagaimana biasa.

"Umno akan terus berperanan sebagaimana ideologi yang dipegangnya. Malah akan terus menjadi juara membela kepentingan rakyat, dan pastinya akan merampas kembali kerusi yang hilang," katanya.