Jerebu: Kuala Terengganu catat IPU tidak sihat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kuala Terengganu hari ini berada pada skala bacaan Indeks Pencemaran Udara tidak sihat, dengan catatan 111 setakat pukul 6.00 petang hari ini, mengikut data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Menurut data itu, Kuala Terengganu menunjukkan bacaan tidak sihat sejak 4.00 pagi hari ini dengan bacaan IPU 101 dan mencapai kemuncak dengan bacaan IPU 115 pada pukul 12.00 tengah hari tadi.

APIMS turut melaporkan sebanyak 66 buah kawasan dilanda jerebu pada tahap sederhana hari ini antaranya Kangar, Langkawi, Alor Star, Sngai Petani, Kulim, Sebarang Jaya, Seberang Perai, Balik Pulau, Taiping, Seri Manjung, Tanjung Malim, Cheras, Putrajaya dan Kuala Selangor.

Semalam, dua kawasan iaitu Rompin, Pahang dan Johan Setia, Klang dilaporkan berada pada tahap IPU tidak sihat dengan mencatatkan bacaan IPU 104 dan IPU 107.

Sementara itu, Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpusat di Singapura hari ini melaporkan masing-masing sifar titik panas di kawasan semenanjung Malaysia dan Sumatera, setakat 5.37 petang.

ASMC turut melaporkan 25 titik panas di Sabah, Sarawak dan Kalimantan serta masing-masing tiga titik panas di Sulawesi dan kepulauan Jawa.

Semalam jerebu dilaporkan melanda negara susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia melibatkan Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100, sederhana; 101-200, tidak sihat; 201-300, sangat tidak sihat dan melebihi 300, berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Orang awam boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam. -Bernama