Pemandu maut lori terbabas

Keadaan lori yang dipandu oleh mangsa terjunam ke tebing kawasan kelapa sawit di kawasan bulatan Taman Delima di sini pagi tadi.
Keadaan lori yang dipandu oleh mangsa terjunam ke tebing kawasan kelapa sawit di kawasan bulatan Taman Delima di sini pagi tadi.
A
A
A

KLUANG - Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjunam ke tebing kawasan kelapa sawit di kawasan bulatan Taman Delima, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Abu Bakar Dan, 43, berasal dari Kampung Md Amin, Simpang Renggam.

"Siasatan awal mendapati, lori muatan batu yang dipandu oleh mangsa datang dari arah Taman Muhibbah menghala ke Jalan Stadium.

"Setibanya ke lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan terbabas masuk ke tebing kawasan kelapa sawit.

"Akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan manakala lori yang dipandunya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan sebelah kanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan kemalangan merupakan bulatan taman, jalan bertar, kering dan waktu siang.

"Kenderaan yang terlibat juga akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Kluang untuk pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: